"...sangat sedikit mereka yang dapat melakukannya."
Thursday, 5 July 2012"Ketika turun ayat ‘walladzina yaknizuna… (orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya di jalan Allah), kami sedang bersama Rasulullah saw dalam suatu perjalanan. Lalu, sebagian dari sahabat berkata, “Ayat ini turun mengenai emas dan perak, sedangkan kami tiada memilikinya," Rasulullah saw kemudian bersabda,
“Mahukah kamu aku beritahu harta yang lebih berharga dari emas dan perak? Yang lebih berharga dari emas dan perak, ialah lidah yang berdzikir, hati yang bersyukur, dan isteri solehah yang akan membantu seorang mukmin memelihara keimanannya.” (riwayat Imam Tarmizi)
Kita, isteri, adalah harta simpanan terbaik seorang lelaki. Namun syaratnya.. isteri yang solehah.
Isteri solehah?
Sabda Rasulullah saw, “Harta simpanan terbaik seorang mukmin ialah isteri solehah. Mereka yang apabila kamu memandangnya kamu berasa gembira, apabila kamu menyuruhnya dia mentaati, dan diwaktu ketiadaanmu, dia memelihara maruah dirinya bahkan hartamu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim)
"Takkan itu je, susah sangat ke nak taat pada suami?"
Bagi yang sudah berumah tangga, kita tahu ia bukan perkara yang mudah. Bilamana taat bererti mematuhi apa sahaja yang dikatakan suami selagimana ia makruf, sehinggakan sabda Nabi,
“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.” (riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)
Kenapa ya susah?
Kerana suami juga manusia, punya tabiat, perasaan, karakter. Kita panas baran, suami lagi panas baran.. jadi, sama-samalah berperang. Suami ada pendapat, tapi kadang-kadangkan, pendapat kita lagi 'betul'? Memang bukan mudah nak taat pada suami, tetapi inilah yang Allah suruh.
Ustazah berikan satu petua : Taat pada suami jangan lihat pada siapa suami kita. Kita akan berkata "Ustazah, biar betul, nak kena buat air, nak kena layan dia semua, padahal, Ya Allah perangai dia, menyakitkan hati."
Tapi kita letak, taat pada suami bukan kerana batang tubuh suami tersebut. Suami kita itu seorang manusia, seorang hamba Allah, yang tidak sempurna, makin lama kahwin makin banyak 'istimewaannya',
Tapi kita letakkanlah.. 'ketaatanku pada suamiku adalah kerana untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.'. Sebagai laluan, peluang kita. Soal siapa suami tu nanti dulu. Kena jelas, "Saya mentaati suami saya bukan kerana apa-apa, kecuali kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.
Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita untuk bertanya kepada mu. Sesungguhnya mereka mengeluh, bilamana seorang lelaki dikurniakan Allah untuk pergi berjihad, pahalanya sungguh banyak sekali. Bilamana terkorban, mati syahid. Bagaimanakah pula dengan kami yang ingin juga mendapat kurniaan sebegitu besar?" Jawab Baginda Nabi saw, "Sampaikan ini kepada kaum wanita yg bertanya. Taatlah pada suami mu, dan iktiraflah hak yang ada pada suami mu, sesungguhnya pahalanya bersamaan dengan pahala jihad di jalan Allah. Akan tetapi, sangat sedikit mereka yang dapat melakukannya." (HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
- Taken and editted from kuliah Ustazah Norhafizah
Note : Atas rahmat Allah, sungguh banyak rahmat kasih sayang yang Allah tumpahkan pada suami isteri.
Firman-Nya yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
(Surah al-Ruum, ayat 21).
Walaupun kadang-kadang geram macam mana pun, perasaan kasih dan sayang tu sentiasa melimpah ruah.
Jadikan ia senjata untuk kita jihad TAAT ini.
Jadikanlah diri kita, dan anak-anak perempuan kita, khazanah terbaik atas muka bumi, bukan pada pandangan suami, tetapi pada pandangan Allah!
0 comments:
Post a Comment